Monday, May 18, 2009


BN TAKUT ATAU CERDIK

BN tidak meletakkan calonnya bertanding di DUN Penanti pada 31 Mei 2009 nanti. Sama ada adalah tindakan penakut ataupun satu tindakan yang cerdik akan sentiasa menjadi perbualan ramai, tidak kiralah orng politik sendiri ataupun masyarakat biasa. Tetapi yang pastinya, jika mereka membincangkan topik ini dikedai kopi, sudah tentu yang laku ialah teh tarik dan kopi o tauke kedai. Alhamdulillah, dapat meningkatkan ekonomi tauke dalam suasana ekonomi negara yang tengah tidak menentu ini.

Di pihak pembangkang, sudah tentu keputusan BN tidak turut serta dalam pilihanraya kecil Penanti ini dipandang serong dan negatif. Saya pasti di dalam kempen-kempen mereka nanti akan mencanangkan bahawa BN jadi penakut kerana tahu lebih awal mereka akan kalah teruk memandangkan semasa pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh pada bulan Ogos 2008, BN kalah disemua 10 Daerah Mengundi di DUN Penanti dengan majoriti kepada pembangkang yang bertambah. Kekalahan ini akan mencatatkan rekod kekalahan 5-1 dalam pilihanraya-pilihanraya kecil yang ditandingi oleh BN yang hanya mampu menang di DUN Batang Air. Pembangkang juga akan menwar-warkan bahawa UMNO adalah parti perkauman dan tidak releven lagi dalam konteks masakini.

Di pihak BN pula, alasan utama kerana tidak bertanding adalah kerana ia hanyalah permainan politik pembangkang dan tidak mahu terjerebak dengan perangkap pembangkang yang sebenarnya bertujuan menutup masalah atau mengalih perhatian mengenai masalah dalaman PKR sendiri.

Selain itu, BN membuat keputusan tersebut secara sebulat suara pada Mesyuarat Tertinggi BN di mana hampir kesemua ahlinya tidak mahu BN bertanding di Penanti. Sebagai menghormati keputusan tersebut, UMNO tidak akan meletakkan seorang pun ahlinya di Penanti walau pun di ketahui kemungkinan angan-angan tetap wujud di kalangan ahli UMNO Bahagian Permatang Pauh di pilih untuk bertanding.

BN juga berpendapat bahawa pilihanraya kecil ini bukanlah disebabkan keperluan mengikut Perlembangaan Persekutuan seperti pilihanraya kecil Kuala Terengganu, Bukit Gantang, dan Batang Air di mana wakil rakyatnya meninggal dunia berbanding di Permatang Pauh, Bukit Selambau dan Penanti yang melihat wakil rakyat pembangkang meletak jawatan. Sekiranya BN bertanding di Penanti, tidak mustahil mereka akan berterusan mengadakan lebih banyak pilihanraya kecil bagi tujuan menghidupkan dan meyemarak semangat pembangkang sepanjang masa sehinggalah pilihanraya umum ke 13 yang akan datang.

PKR juga sekarang dilihat seperti memperkemaskan parti mereka dengan menggantikan wakil rakyat tangkap muat yang diletak semasa pilihanraya umum ke 12 tahun lalu melalui pilihanraya-pilihanraya kecil ini. Kejayaan yang tidak dijangka PKR melalui wakil-wakil rakyat yang menjadi bidan terjun dan tangkap muat ini menyebabkan PKR terpaksa menilai kembali prestasi wakil rakyat tersebut yang dikatakan kurang menyerlah. Pastinya akan ada lagi pilihanraya kecil yang akan datang seperti yang diramal oleh pemerhati-pemerhati politik.

Selepas Penanti, Perak akan menjadi tumpuan sama ada pilihanraya kecil negeri diadakan ataupun tidak. Tidak bertanding di Penanti tidak mendatangkan apa-apa kesan dalam komposisi wakil rakyat BN di Pulau Pinang. Kedudukannya menjadi status-quo. Walau bagaimanapun di Perak, pilihanraya kecil akan menentukan siapakah yang akan memerintah negeri. Keadaan ini amat penting dan sepatutnya menjadi tumpuan utama BN. Segala 'resources' perlulah ditumpukan di Perak dari sekarang memandangkan perkembangan terbaharu menunjukkan ke arah piliharaya kecil negeri diadakan dalam tempoh terdekat.





Monday, March 30, 2009

Bukit Selambau - Satu Sejarah


Tu dia! 15 orang calon akan bertanding dalam pilihanraya kecil Bukit Selambau, Kedah. Tidak pernah dalam sejarah negara ini ada seramai itu yang bercita-cita ingin jadi yang berhormat bertanding dalam sesuatu DUN atau kawasan Parlimen. Kalau ikut sejarah, paling ramai pun cuma 8 orang di DUN Tanjung Kapor, Sabah pilihanraya tahun lalu, kalau tak silap aku.

Apa yang sebenarnya mereka nak? Teringin nak pegang jawatan ke atau saja-saja nak berseronok mahu dapat publisiti. Tapi yang pastinya, kebanyakkan mereka akan kehilangan wang deposit yang mereka bayar. Bagi kat aku lagi bagus.

Tapi yang aku nak singkap sikit ni ialah kenapa ramai sangat masuk bertanding? Ada yang tersurat dan ada yang tersirat. Yang tersurat tu dah tentu menunjukkan negara ini mengamalkan sistem demokrasi yang membolehkan sesiapa saja bertanding.

Yang tersirat pula, kemungkinan besar menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai keyakinan kepada BN dan Pakatan Rakyat. Kalau mereka menyokong BN sudah tentu mereka tidak akan masuk bertanding tetapi memberi sokongan kepada BN ataupun Pakatan Rakyat. Juga ia menunjukkan kelemahan parti BN dan Pakatan Rakyat kerana pada pilihanraya umum yang lalu, ramai calon bebas memenangi kerusi dewan menyebabkan mereka ini teruja untuk masuk bertanding untuk mengukur populariti masing-masing.

Atau mungkin juga kerana berangan-angan menjadi ahli Exco Kedah kerana sebelum ini, V. Arumugam yang memenangi kerusi Bukit Selambau sebagai calon bebas telah dilantik menjadi ahli exco mewakili kaum India. Atau yang mungkin paling tepat ialah ia sebagai menunjukkan bantahan mereka kepada pucuk pimpinan PKR kerana memilih calon yang mereka tidak kenal dan tidak suka. Fikir-fikirlah......

Tuesday, March 24, 2009

Pemilihan UMNO ..... kita lihat siapa yang kena?




Pemilihan UMNO dan bermula. Kempen mendapatkan undian yang berjalan sejak beberapa bulan yang lalu akibat persidangan UMNO 2008 ditunda ke Mac 2009 sudah hampir ke penghujungnya dan yang tentu dan pastinya, Dato Seri Najib Tun Razak akan menjadi Presiden UMNO yang baru.... tetapi jawatan lain pula siapa yang dapat? Jadi, sama-samalah kita tunggu dan lihat siapa yang kena?

Peralihan kuasa: Patutkah Kabinet Pak Lah Meletak Jawatan


Tidak berapa lama lagi, Dato Seri Najib akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan setiap kali Perdana Menteri baru dilantik, beliau akan melantik anggota kabinet pilihannya sendiri. Oleh itu, adakah perlu anggota Kabinet Pak Lah meletak jawatan?

Saya bersetuju dengan saranan Dato Dr. Abdul Latiff Ahmad, Timbalan Menteri Kesihatan supaya semua anggota kebinet sedia ada melepaskan jawatan masing-masing apabila Dato Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Ia bagi membolehkan Najib berpeluang untuk menubuhkan Kabinet beliau dan melantik anggota pilihannya untuk membantu mentadbir negara dan sebagai Perdana Menteri sememangnya beliau berhak membuat demikian.

Dalam hal pemilihan orang yang layak memegang jawatan dalam kabinet pula, beberapa kriteria penting perlu dipunyai iaitu intergriti, kesetian, kepimpinan dan bebas dari rasuah.Ini berikutan desakan-desakan pemimpin dan orang ramai kepada Najib supaya jangan melantik pemimpin yang terlibat dengan rasuah memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Saturday, March 21, 2009

Fairus Letak Jawatan


Dah sah dah. Apa yang aku jangka dan mungkin ramai lagi yang lain, telah berlaku. Akhirnya YB Mohamad Fairus Khairuddin meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan juga sebagai Ahli Exco. Cuma beliau kekal dengan jawatan sebagai Ahli DUN Penanti. Itu pun tak tahu berapa lama lagi kalau tiada tekanan dari pimpinan atasan Pakatan Rakyat dan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Sejak memenangi kerusi DUN Penanti dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1, beliau dikatakan tidak cemerlang dalam tugasan beliau. Dari laporan akhbar dan orang ramai, beliau dikatakan jarang melawat kawasan beliau dan tidak banyak membantu memajukan orang Melayu di Pulau Pinang sedangkan beliau dilantik bagi mewakili orang melayu. Selain itu, dilaporkan bahawa pegawai beliau sendiri menyatakan bahawa beliau tidak sesuai memegang jawatan tersebut kerana kurang berpengalaman. Tambahan lagi cerita-cerita tuduhan rasuah oleh ahli Parti Keadilan Rakyat ke atas 2 orang ahli PKR baru-baru ini mungkin membabitkan beliau, juga mungkin menyebabkan keputusan meletak jawatan tersebut.

Kalau disingkap kisah-kisah yang lepas, kini dah 5 orang wakil rakyat dari Pakatan Rakyat yang telah meletak jawatan sebagai wakil rakyat ataupun telah keluar parti untuk jadi wakil rakyat bebas. Mereka adalah Wan Azizah (PKR - Permatang Pauh), Mohd Osman Mohd Jailun(PKR - Changkat Jering), Jamaluddin Mohd Radzi (PKR - Behrang), Hee Yit Foong (DAP - Jelapang) dan V. Arumugam (Bukit Selambau). Sekarang ni, tengah tunggu 2 lagi tempat iaitu Bukit Lanjan dan mungkin Penanti sendiri. Tak tahulah berapa banyak lagi nak ada pilihanraya kecil pada masa akan datang sebelum menjelang pilihanraya umum ke 13 nanti.

Pening-pening....tambah teruk kalau jadi lagi pilihanraya kecil lagi. Kita dan pilih mereka.... jadi jalankanlah tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Turunlah melawat kawasan dan kalau dah duduk dalam dewan tu, pandai-pandai lah jaga kelakuan ...janganlah sampai kena gantung pulak.... jangan buat perangai tak senonoh dan berlagak samseng. Dalam hal ini saya terbaca pantun 2 kerat dalam akhbar Berita Harian ditulis oleh Ismail Restu dari Kg. Bujang, Kedah. Baca dan enjoy...lupakan sekejap pasai orang politik dengan politiknya.

PANTUN DUA KERAT UNTUK WAKIL RAKYAT

Letak ubi di atas akhbar
wahai YB apa khabar?

Orng Petani pergi ke JB
Pantun ini untuk YB

Sambil baring pandang awan
YB sering sibuk di dewan

Ajak kawan naik rakit
Kisah di dewan teruk sikit

Datuk Penghulu beli senangin
mengapa selalu naik angin?

Sakit bahu tenyeh halia
YB tahu dewan tu mulia

Di celah tingkap cicak terbunuh
mengapa bersikap tidak senonoh?

Tuan doktor makan timun
cakap kotor maki hamun!

Anak Cina pergi ke Taiwan
sampai kena keluar dewan

Tidak perlukah lobi melobi
tidak malukah wahai YB?

Bakar jerami di Kampong Jabi
takkan kami nak nasihat YB?

Terubatkah sakit menonton TV
Sedarlah sikit wahai YB

Thursday, March 19, 2009

Benarkah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Di Arah Meletak Jawatan?


Spekulasi timbul melalui sms yang tidak diketahui dari mana puncanya, yang menyatakan Dato Seri Anuar Ibrahim telah mengarahkan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB Mohammad Fairus Khairuddin supaya meletakkan jawatan beliau selewat-lewatnya pada hari khamis, 19 Mac 2009. Ini dikatakan berkaitan tuduhan rasuah ke atas beliau dan dimaklumkan bahawa beberapa orang pegawai SPRM telah datang ke pejabat beliau baru-baru ini. Walau bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan PKR Negeri Pulau Pinang, Dato Zahrain Mohamed Hashim telah menafikannya dan sehingga sekarang belum ada keputusan rasmi.

Spekulasi juga menyatakan YB Fairus juga diminta mengosongkan kerusi DUN Penanti yang dimenangi beliau dalam Pilihanraya ke 12 tahun lalu. Sekiranya perkara ini berlaku, satu lagi pilihanraya kecil akan berlaku di Pulau Pinang.

Sebenarnya, rakyat dah mula muak dan bosan dengan pilihanraya-pilihanraya kecil ini yang semakin banyak sejak akhir-akhir ini. Kalau ia berlaku kerana kematian penyandangnya tak apa juga, tapi ini kerana masalah yang dibuat-buat sendiri. Contohnya pilihanraya kecil Permatang Pauh dimana Dato Seri Anuar Ibrahim bertanding selepas isterinya meletak jawatan untuk membenarkan suaminya bertanding. Bukit Selambau pula masalah penyandangnya meletak jawatan selepas masalah moralnya. Di Perak pula tiga orang exco dari Pakatan Rakyat kononnya dituduh telah meletak jawatan kerana surat perletakan jawatan yang ditandatangan mereka selepas menang pilihanraya umum digunakan semula setelah mereka keluar dari parti dan pihak Pakatan Rakyat beria-ia hendak mengadakan pilihanraya kecil. Di Bukit Lanjan pula mungkin akan ada pilihanraya kecil sekiranya penyandangnya yang terlibat dalam isu moral juga telah memohon meletak jawatan. Dan sekarang ini pula mungkin berlaku di Penanti kerana penyandangnya diarah meletak jawatan kerana masalah rasuah (kalau benar).

Rakyat hendakkan pembangunan dan juga supaya wakil-wakil rakyat memenuhi janji-janji pilihanraya mereka.... bukan mengajak mereka keluar sekali lagi untuk mengundi lagi bagi memilih calon baru. Pilihanraya umum dah habis! Dan jika melihat semula senario yang disebut tadi, banyak masalah datangnya dari calon-calon Pakatan Rakyat. Adakah ini disebabkan masalah kepimpinan kerana kurang berpengalaman mentadbir kawasan dan negeri? Ataupun mereka ini gemar kepada polemik politik daripada melaksanakan janji-janji mereka? Muak...muak...muak...bosan...bosan....booooo san!

Tuesday, March 17, 2009

Alahai Ali


Lembaga Disiplin UMNO melarang calon Timbalan Presiden, Dato Seri Mohd Ali Rastam daripada bertanding jawatan tersebut kerana mendapatinya terbabit dalam politik wang.Beberapa orang yang lain juga telah didapati bersalah tetapi mendapat hukuman yang berbeza.

Keputusan Lembaga Disiplin ini menunjukkan bahawa UMNO sememangnya berusaha untuk membersihkan parti tersebut daripada politik wang. Orang ramai sekarang ini melihat UMNO sebagai sebuah parti yang angkuh dan banyak terlibat dengan amalan-amalan yang tidak sihat. Dengan keputusan Lembaga Disiplin menunjukkan bahawa UMNO betul-betul ikhlas dalam usaha mengatasi masalah tersebut dan sememangnya ia perlu dilaksanakan supaya UMNO masih relevan pada masa akan datang dan mengekalkan pengaruhnya sebagai sebuah parti yang memperjuangkan nasib orang melayu.Sebenarnya parti itu (UMNO) tidak bersalah tetapi yang bersalah itu ialah ahli-ahlinya yang tidak memimpin dengan baik dan terlibat dengan perkara-perkara yang tidak baik atas nama parti.